Mar 28, 2011

Benar kata-katamu Hang Tuah, tetapi...

Apabila aku melihat cermin, aku dapat melihat dengan jelas ciri-ciri muka aku. Hidung aku mancung, kulit aku cerah, rambut aku bewarna cokelat gelap. Apabila aku menulis, aku perasan yang aku lebih selesa menulis dalam Bahasa Inggeris. Apabila aku berbual dengan rakan-rakanku, perbualan aku akan diselang-seli dengan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

Apabila aku menonton wayang, aku perasan yang kebanyakan filem yang ditonton aku adalah filem berbahasa Inggeris. Apabila aku membeli CD lagu, aku perasan kebanyakan CD yang aku beli adalah CD band-band dari luar negara.

Aku melihat di sekeliling aku. Aku perasan yang bukan aku seorang sahaja yang menjalani kehidupan seharian seperti ini. Bukan aku seorang sahaja yang makin melupakan asal-usul diri aku.

Tetapi apabila aku fikir balik, aku tidak setuju dengan diri aku sendiri. Aku bukan Melayu yang lupa diri. Aku hanya seorang Melayu yang menerima adat dan bahasa kaum lain sebagai sebahagian dari diri aku.

Aku sedih apabila aku melihat kaum-kaum di negara aku bergaduh sesama sendiri. Aku tidak salahkan sesiapa dalam hal ini. Bukan semua orang sempurna. Aku seorang Melayu yang bangga akan keturunan aku, tetapi aku tidak pernah, tidak akan dan tidak mungkin menganggap diri aku sebagai tuan di negara aku sendiri kerana negara ini bukan aku yang punya. Negara ini bukan kaum aku yang punya.

Negara ini milik seluruh rakyat Malaysia.

Tetapi ini tidak bermakna aku akan mengetepikan kaum aku sendiri. Kelak apabila aku sudah berjaya dan Insyallah kaya raya, akan aku gunakan harta bendaku, tenaga dan kudratku untuk memastikan kaum aku berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kaum-kaum lain di negara ini. Ini janjiku.

Orang Melayu bukan kaum yang lemah. Orang Melayu dahulu merupakan pahlawan, satria gagah perkasa yang menakluk wilayah-wilayah di Nusantara ini untuk menubuhkan Kesultanan Melayu Melaka.

Takkan Melayu hilang di dunia. Ya Hang Tuah, benar kata-katamu itu. Tetapi apa gunanya kewujudan kita jika kita hanya mampu melihat orang lain menjadi tuan si hamba.